Chelodina mccordi juga dikenali sebagai Kura-kura Leher Ular Pulau Roti atau Kura-kura McCord,[5] ialah spesies kura-kura sangat terancam yang berasal dari Pulau Rote di Indonesia.
Subspesies Chelodina mccordi timorensis, yang juga dikenali Chelodina timorensis boleh ditemui di Timor Timur.
Chelodina mccordi berasal dari genus Chelodina (Kura-kura Leher Ular Australia) iaitu dari keluarga Chelidae (Kura-kura Leher Ular Austro-Amerika).
Chelodina mccordi roteensis, satu lagi subspesies, hanya ditemui di dua buah tasik, iaitu di daerah Landu Leko utara Rote, termasuklah Tasik Undun.[6]
Kura-kura Leher Ular Pulau Roti muncul daripada pecahan spesies Kura-kura Leher Ular New Guinea yang dianggap sebagai spesies terasing pada tahun 1994 selepas Dr. Anders Rhodin, pengarah Chelonian Research Foundation di Lunenburg (Massachusetts), mendapati terdapat perbezaan antara kedua-dua spesies. Kura-kura leher ular pertama yang ditemui di Pulau Rote telah direkodkan pada tahun 1891 oleh George Albert Boulenger.
Kedua-dua nama spesies, mccordi, atau Kura-kura McCord, adalah sebagai penghargaan kepada Dr. William Patrick McCord (lahir 1950), seorang pakar kura-kura dan veterinar [5] dari Hopewell Junction, New York.
Karapasnya boleh mencecah panjang sehingga 18–24 cm. Warna karapasnya kelabu-coklat. Terdapat juga spesimen yang mempunyai warna perang seperti buah berangan. Plastronnya pucat keputihan. Lehernya pula panjang seperti karapas, berwarna coklat gelap dan bertuberkel. Bawah leher berwarna kuning cair. Manakala iris matanya hitam serta dikelilingi warna putih.
Habitat semulajadi Chelodina mccordi ialah kawasan paya, teres tanaman padi dan tasik.
Kura-kura dewasa boleh bertelur sebanyak tiga kali dalam setahun. Satu sarang telurnya mengandungi 8-14 biji telur. Saiz telur pula sekitar 30 mm × 20 mm (1.18 in × 0.79 in) dengan berat 8–10 gram (0.28–0.35 oz). Anak kura-kura muncul selepas pengeraman selama tiga bulan, dan anak kura-kura terakhir meninggalkan sarang selepas empat bulan seterusnya. Saiz anak kura-kura yang baru lahir sekitar 28 mm × 20 mm (1.10 in × 0.79 in), mempunyai bintik kuning pada plastron, yang akhirnya menjadi gelap dalam beberapa minggu sehingga seluruh plastron menjadi hitam. Semasa proses membesar, warnanya menjadi pucat sehingga warnanya menjadi warna dewasa.
Haiwan ini sering mendapat permintaan tinggi dalam pasaran haiwan antarabangsa. Malah, terdapat kajian menyatakan mereka sering ditangkap sehingga larangan dagangan terpaksa dibuat pada tahun 2001. Terdapat dua atau tiga lagi baki populasi yang mendiami kawasan bersaiz hanya 70 km² (27 batu persegi) di tengah banjaran Pulau Rote. Walau bagaimanapun, haiwan ini masih lagi ditangkap secara haram dan sering ditawarkan di pasaran dengan label keluaran Kura-kura Leher Ular New Guinea. Pada tahun 2004 haiwan ini disenaraikan di Appendix II oleh CITES.
Selain manusia, antara ancaman lain haiwan ini ialah babi liar (Sus scrofa)[7] dan pemusnahan habitat.
Chelodina mccordi juga dikenali sebagai Kura-kura Leher Ular Pulau Roti atau Kura-kura McCord, ialah spesies kura-kura sangat terancam yang berasal dari Pulau Rote di Indonesia.