dcsimg

Kera bekantan ( Malay )

provided by wikipedia MS

Kera bekantan (Tulisan Jawi: كرا بيكانتن), monyet belanda atau bayau[3][4] (Nasalis larvatus) merupakan sejenis monyet yang mendiami pokok dan endemik di pulau Borneo.[5]

Spesies ini hidup di samping orang utan.[6] Ia merupakan satu-satunya ahli genus Nasalis, biarpun langur Pulau Pagai juga pernah dikatakan serumpun dalam genus tersebut.[7]

Nama timangan bagi monyet ini ialah "monyet belanda" ataupun "orang belanda" kerana ia disamakan oleh orang tempatan dengan penjajah Belanda yang demikian besar perut dan hidungnya.

Spesies monyet ini mudah dicam kerana hidungnya yang begitu besar.

Taksonomi

Bekantan tergolong dalam subfamili Colobinae di bawah rumpun monyet Dunia Lama. Terdapat dua subspesiesnya, iaitu:[2]

  • N. l. larvatus (Wurmb, 1787) yang menduduki seluruh taburan spesiesnya, dan
  • N. l. orientalis (Chasen, 1940) yang terhad di Kalimantan barat laut.

Namun begitu, perbezaan antara dua subspesies ini halus sekali, malah bukan semua pihak berwibawa mengiktiraf N. l. orientalis.[2]

Pemerian

 src=
Muka bekantan betina

Bekantan merupakan antara spesies monyet terbesar yang berasal dari Asia. Besarnya hanya ditandingi oleh kera Tibet dan beberapa subspesies langur kelabu. Perbezaan ciri-ciri sesama jantinanya ketara sekali. Bekantan jantan mempunyai panjang kepala ke tubuh sebanyak 66 hingga 76.2 cm (26.0 hingga 30.0 in) dan beratnya dalam 16 hingga 22.5 kg (35 hingga 50 lb), dengan berat maksimum diketahui sebanyak 30 kg (66 lb). Yang betina pula berukuran 53.3 hingga 62 cm (21.0 hingga 24.4 in) dari kepala ke tubuh dan berberat 7 hingga 12 kg (15 hingga 26 lb), dengan jisim maksimum diketahui sebanyak 15 kg (33 lb).[8][9][10] Perbezaan ini diketarakan lagi dengan hidung besar si jantan yang boleh mencecah panjang 10.2 cm (4.0 in),[11] malah berjuntai lebih rendah daripada paras mulut.[12][13] Sungguhpun demikian, hidung si betina juga agak besar bagi sesejenis primat. Bekantan mempunyai bulu yang tebal dan pelbagai warna. Bulu di belakang berwarna jingga muda, perang kemerahan, perang kekuningan atau merah bata.[12][13] Bulu di perutnya pula berwarna kelabu muda, kekuningan, ataupun kekelabuan ke jingga muda.[12][13] Mukanya merah muda kejinggaan. Bekantan jantan mempunyai alat kelamin merah dengan skrotum hitam. Kedua-dua jantina mempunyai perut buncit. Kebanyakan bekantan berjari renang.[12]

Kelakuan

Kelakuan sosial

 src=
Bekantan melompat (gambar komposit), Teluk Labuk, Sabah, Malaysia

Monyet bekantan umumnya hidup secara berkawanan yang terdiri daripada seekor jantan dewasa, beberapa ekor betina dewasa bersama anak-anaknya.[14][15][16] Juga terdapat kelompok semua jantan.[17] Sesetengah individu hidup secara tunggal, kebanyakannya jantan.[18] Setiap kawanan monyet hidup dalam julat kediaman yang bertindan dengan satu sama lain dan kurang mengendahkan kewilayahan,[14][15] dalam masyarakat belah lakur di mana semua kawanan berhimpun di tapak tidur pada waktu malam.

Kawanan-kawanan bekantan juga membentuk ikatan longgar sesama sendiri iaitu sekejap bergabung dan sekejap berpecah untuk tujuan tertentu, dan adakalanya kawanan-kawanan juga bergabung untuk mengawan dan merapi.[14][15][16] Bekantan berhimpun dan bersiar sekawanan pada waktu siang, sedangkan individu hanya merapi dan bermain dengan ahli sekawanan sahaja.[16]

Kawanan satu jantan biasanya terdiri daripada 9–19 ekor individu sedangkan ikatan boleh terbentuk daripada sebanyak 60 ekor.[14][18] Kekasaran sesama bekantan juga berlaku tetapi jarang-jarang sekali ganas.[19] Tuntasnya, ahli seikatan cukup bertoleransi dengan satu sama lain.

Terdapat tatatingkat penguasaan linear sesama betina.[15] Bekantan jantan dalam kawanan satu jantan boleh kekal dalan kumpulannya selama enam ke lapan tahun. Nampaknya penghuni jantan bersilih ganti tanpa sebarang kekasaran.[17] Bekantan jantan sebaik cukup umur meninggalkan kawanan kelahirannya untuk menyertai kawanan semua jantan.[14][18] Sesetengah yang betina juga meninggalkan kawanan kelahiran untuk mengelakkan anaknya daripada dibunuh atau pembiakbakaan dalam, membendung perebutan makanan, atau menaiki status sosial.[17][18]

Pembiakan

Bekantan betina menjadi matang seks pada umur lima tahun. Ia mengalami "kebengkakan seksual" yang mana alat kelaminnya menjadi kemerahan.[17][20] Di suatu tapak, pengawanan biasanya diadakan dalam bulan Februari ke November, manakala kelahiran berlaku dalam bulan Mac ke Mei.[21] Persetubuhan biasanya diadakan selama kira-kira setengah minit,[15][17] bila mana si jantan melekap di atas belakang si betina dengan mencekau buku lima atau dadanya.[15] Kedua-dua jantina menggalakkan pengawanan tetapi tidak sentiasa berjaya.[20] Ketika memikat, kedua-dua jantina bermuncung muka. Selain itu, adakalanya si jantan bersuara dan si betina pula menayangkan punggung.[14][20][21] Pasangan mengawan adakalanya diusik oleh bekantan yang "remaja" atau hampir dewasa.[20] Bekantan juga boleh bertunggangan tanpa tujuan membiak, seperti untuk bermain atapun hubungan sama jantina. Tempoh bunting biasanya dalam 166–200 hari.[21] Bekantan betina biasanya beranak pada waktu malam atau fajar. Kemudian ibu bekantan memakan urinya dan menjilat anaknya hingga bersih.[22] Anak bekantan mula mengambil makanan pejal pada umur enam minggu dan bercerai susu pada umur tujuh bulan. Hidung bekantan jantan mula tumbuh dengan perlahan hinggalah umur dewasa. Ibu bekantan membenarkan ahli kawanan lain mendukung anak kecilnya.[15][21][22] Apabila penghuni jantan diganti dalam kawanan satu jantan, maka anak bekantan berdepan dengan pembunuhan.[23]

Komunikasi

Monyet bekantan dikenali dengan pelbagai ragam suaranya. Untuk menyampaikan khabar kawanan, si jantan mengeluarkan bunyi kericau. Juga terdapat bunyi kericau khas untuk menenteramkan anak. Bekantan jantan juga mengeluarkan teriakan untuk menandakan bahaya. Kedua-dua jantina mengeluarkan teriakan mengugut yang berbeza. Selain itu, bekantan betina dan muda juga mengeluarkan "teriakan betina" ketika marah.[24] Terdapat bunyi kericauan, tempikan dan deraman dalam pertengkaran sesama bekantan. Bekantan juga bertengkar tanpa suara dengan menggoncang dahan, menayang gigi dan bertegak alat kelamin (bagi yang jantan).[15]

Ekologi

Taburan dan habitat

 src=
Bekantan muda, Teluk Labuk, Sabah, Malaysia

Bekantan adalah endemik di pulau Borneo dan terdapat di ketiga-tiga negara yang berwilayah di pulau ini, iaitu Brunei, Indonesia, dan Malaysia.[25] Ia paling umum dijumpai di kawasan pantai dan sepanjang sungai.[14] Spesies ini terhad kepada habitat tanah rendah yang terdedah kepada pasang surut air.[26][27] Ia paling gemar mendiami hutan dipterokarpa, bakau dan bersungai.[14] Ia juga terdapat di hutan paya, paya bantut, hutan pokok getah, dusun getah, hutan bukit batu kapur, paya nipah, paya nibung, hutan paya tinggi, hutan rawa tropika dan cenuram curam.[26] Spesies ini biasanya berdiam dalam lingkungan satu kilometer dari punca air. Bekantan mungkin merupakan antara primat yang paling giat dengan air malah pandai berenang, dengan keupayaan menyelam sejauh 20 m (66 ka) ke dalam air. Ia diketahui berenang menyeberangi sungai.[26] Selain itu, bekantan tertumpu pada kawasan dalam pokok, bergerak dengan keempat-empat kaki dan melompat.[8] Ia juga diketahui terjun dari dahan ke dalam air.[15]

Pemakanan dan kegiatan

 src=
Bekantan duduk di atas pokok

Pemakanan bekantan umumnya terdiri daripada pengambilan daun dan buah-buahan secara bermusim.[15] Ia juga sedikit sebanyak mengambil bunga, benih dan serangga sebagai makanan. Sekurang-kurangnya 55 jenis spesies tumbuhan dijadikan makanan bekantan, terutamanya rumpun jambu, bengku dan perupuk gunung".[28] Daun muda digemari daripada daun masak, dan demikian juga buah muda daripada buah masak.[15] Bekantan sebagai pemakan bermusim tertumpu kepada buah-buahan dari Januari hingga Mei dan beralih kepada daun dari Jun hingga Disember.[28] Kawanan biasanya tidur di pokok-pokok bersebelahan.[29] Individu pula cenderung tidur di tepi sebarang sungai yang berdekatan. Bekantan memulakan hari dengan mencari makanan, kemudian berehat di pedalaman. Amalan harian bekantan terdiri daripada berehat, bersiar-siar, menyuap dan menjaga keselamatan.[15] Adakalanya ia mengunyah mamahan untuk melancarkan lagi penghadaman dan pengambilan makanan.[30] Pada waktu senja, bekantan kembali mencari makanan di tepi sungai. Antara pemangsa bekantan ialah buaya, harimau dahan, helang, biawak dan ular sawa. Bekantan menyeberangi sungai di alur sempit atau melompat pokok seboleh-bolehnya, barangkali untuk mengelak dari pemangsa.[31]

Status pemuliharaan

Bekantan dinilai sebagai spesies Terancam dalam Senarai Merah IUCN dan tersenarai dalam Apendiks I CITES. Jumlah populasinya telah merosot sebanyak lebih daripada 50% dalam 36–40 tahun yang lalu pada tahun 2008 akibat kemusnahan habitat dan kegiatan memburu di sesetengah tempat. Malah populasinya berpecah-belah: populasi terbesar yang tinggal terdapat di Kalimantan; dan ada lagi sejumlah kecil di Sarawak, Brunei dan Sabah.[2] Bekantan dilindung oleh undang-undang di semua wilayah Borneo. Di Malaysia, ia dilindungi oleh beberapa undang-undang temasuklah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (peringkat persekutuan), Ordinan Perlindungan Hidupan 1998 (Bab 26) dan Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (peringkat negeri Sabah).

Bekantan terdapat di 16 bidang kawasan terlindung, iaitu: Taman Nasional Danau Sentarum, Taman Nasional Gunung Palung, Cagar Alam Kendawangan, Taman Nasional Kutai, Hutan Lindung Lesan, Cagar Alam Muara Kaman, Cagar Mandor dan Taman Negara Tanjung Puting di Indonesia; Taman Negara Bako, Hutan Simpan Gunung Pueh, Hutan Simpan Kabili-Sepilok, Taman Negara Klias, Rizab Hidupan Liar Kulamba, Santuari Hidupan Hilir Liar Kinabatangan, Santuari Hidupan Sungai Samunsam dan Hutan Rizab Ulu Segama di Malaysia.[2]

Rujukan

  1. ^ Groves, Colin (16 November 2005). Wilson, D. E., dan Reeder, D. M. (ed.), penyunting. Mammal Species of the World (edisi ke-3). Percetakan Universiti Johns Hopkins. m/s. 168–169. ISBN 0-801-88221-4.Selenggaraan CS1: Pelbagai nama: senarai editor (link) Selenggaraan CS1: Extra text: senarai editor (link)
  2. ^ a b c d e Meijaard, E., Nijman, V. & Supriatna, J. (2008). Nasalis larvatus. Senarai Merah Spesies Terancam IUCN 2008. IUCN 2008. Dicapai pada 4 January 2009.
  3. ^ Rosmah Dain (14 September 2011). "Sabah 'benteng' terakhir Proboscis". Utusan Malaysia. Dicapai 24 Januari 2016.
  4. ^ "Bertemu monyet belanda dan Orang Utan di Kinabatangan". Sinar Harian. 29 Januari 2013. Dicapai 24 Januari 2016.
  5. ^ Stefan Loose Reiseführer Malaysia, Brunei und Singapore: mit Reiseatlas, By Renate Loose, Stefan Loose, Mischa Loose, Moritz Jacob
  6. ^ "Economics, Ecology and the Environment: "Conservation of the Proboscis Monkey and the Orangutan in Borneo: Comparative Issues and Economic Considerations." March 2007" (PDF). March 2007.
  7. ^ Bradon-Jones D, Eudey AA, Geissmann T, Groves CP, Melnick DJ, Morales JC, Shekelle M, and Stewart CB (2004). "Asian primate classification". International Journal of Primatology. 25: 97–164. doi:10.1023/B:IJOP.0000014647.18720.32.Selenggaraan CS1: Pelbagai nama: senarai pengarang (link)
  8. ^ a b Napier, J. R. and P. H. Napier. (1985) The Natural History of the Primates.
  9. ^ Primate Factsheets: Proboscis monkey (Nasalis larvatus) Taxonomy, Morphology, & Ecology.
  10. ^ Up Close With Borneo Primates| Special Features.
  11. ^ Ellis D. (1986) "Proboscis monkey and aquatic ape".
  12. ^ a b c d Ankel-Simons F. (2007) Primate Anatomy: an introduction, 3rd Ed. San Diego: Academic Press ISBN 0080469116.
  13. ^ a b c Payne J, Francis CM, Phillips K. (1985) A field guide to the mammals of Borneo.
  14. ^ a b c d e f g h Bennett EL, Gombek F (1993) Proboscis monkeys of Borneo.
  15. ^ a b c d e f g h i j k l Boonratana R. (1993) The ecology and behaviour of the proboscis monkey (Nasalis larvatus) in the lower Kinabatangan, Sabah.
  16. ^ a b c Boonratana R (2002). "Social organisation of proboscis monkeys (Nasalis larvatus) in the lower Kinabatangan, Sabah, Malaysia". Malay Nat J. 56 (1): 57–75.
  17. ^ a b c d e Murai T (2004). "Social behaviors of all-male proboscis monkeys when joined by females". Ecol Res. 19 (4): 451–4. doi:10.1111/j.1440-1703.2004.00656.x.
  18. ^ a b c d Boonratana R (1999). "Dispersal in proboscis monkeys (Nasalis larvatus) in the lower Kinabatangan, Northern Borneo". Tropic Biodiv. 6 (3): 179–87.
  19. ^ Yeager CP (1992). "Proboscis monkey (Nasalis larvatus) social organization: nature and possible functions of intergroup patterns of association". Am J Primatol. 26 (2): 133–7. doi:10.1002/ajp.1350260207.
  20. ^ a b c d Murai T (2006). "Mating behaviors of the proboscis monkey (Nasalis larvatus)". Am J Primatol. 68 (8): 832–7. doi:10.1002/ajp.20266. PMID 16847976.
  21. ^ a b c d Rajanathan R, Bennett EL (1990). "Notes on the social behaviour of wild proboscis monkeys (Nasalis larvatus)". Malay Nat J. 44 (1): 35–44.
  22. ^ a b Gorzitze AB (1996). "Birth-related behavior in wild proboscis monkeys (Nasalis larvatus)". Primates. 37 (1): 75–8. doi:10.1007/BF02382922.
  23. ^ Agoramoorthy G, Hsu MJ (2004). "Occurrence of infanticide among wild proboscis monkeys (Nasalis larvatus) in Sabah, Northern Borneo". Folia Primatol. 76 (3): 177–9. doi:10.1159/000084380. PMID 15900105.
  24. ^ Messeri P, Trombi M (2000). "Vocal repertoire of proboscis monkey (Nasalis larvatus, L.) in Sarawak". Folia Primatol. 71 (4): 268–87.
  25. ^ Brandon-Jones D, Eudey AA, Geissmann T, Groves CP, Melnick DJ, Morales JC, Shekelle M, Stewart C-B (2004). "Asian primate classification". Int J Primatol. 25 (1): 97–164. doi:10.1023/B:IJOP.0000014647.18720.32.Selenggaraan CS1: Pelbagai nama: senarai pengarang (link)
  26. ^ a b c Sebastian AC (2000). "Proboscis monkeys in Danau Sentarum National Park". Borneo Res Bull. 31: 359–71.
  27. ^ Kawabe M, Mano T (1972). "Ecology and behavior of the wild proboscis monkey, Nasalis larvatus (Wurmb) in Sabah, Malaysia". Primates. 13 (2): 213–28. doi:10.1007/BF01840882.
  28. ^ a b Yeager CP (1989). "Feeding ecology of the proboscis monkey (Nasalis larvatus)". Int J Primatol 10. 10 (6): 497–530. doi:10.1007/BF02739363.
  29. ^ Yeager CP (1990). "Proboscis monkey (Nasalis larvatus) social organization: group structure". Am J Primatol. 20 (2): 95–106. doi:10.1002/ajp.1350200204.
  30. ^ Matsuda, I.; Murai, T.; Clauss, M.; Yamada, T.; Tuuga, A.; Bernard, H.; Higashi, S. (2011). "Regurgitation and remastication in the foregut-fermenting proboscis monkey (Nasalis larvatus)". Biology Letters. 7 (5): 786–789. doi:10.1098/rsbl.2011.0197. PMC 3169055Boleh dicapai secara percuma. PMID 21450728.
  31. ^ Yeager CP (1991). "Possible antipredator behavior associated with river crossings by proboscis monkeys (Nasalis larvatus)". Am J Primatol. 24 (1): 61–6. doi:10.1002/ajp.1350240107.

Pautan luar

Wikispesies mempunyai maklumat berkaitan dengan kera bekantan Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan kera bekantan

license
cc-by-sa-3.0
copyright
Pengarang dan editor Wikipedia
original
visit source
partner site
wikipedia MS

Kera bekantan: Brief Summary ( Malay )

provided by wikipedia MS

Kera bekantan (Tulisan Jawi: كرا بيكانتن), monyet belanda atau bayau (Nasalis larvatus) merupakan sejenis monyet yang mendiami pokok dan endemik di pulau Borneo.

Spesies ini hidup di samping orang utan. Ia merupakan satu-satunya ahli genus Nasalis, biarpun langur Pulau Pagai juga pernah dikatakan serumpun dalam genus tersebut.

Nama timangan bagi monyet ini ialah "monyet belanda" ataupun "orang belanda" kerana ia disamakan oleh orang tempatan dengan penjajah Belanda yang demikian besar perut dan hidungnya.

Spesies monyet ini mudah dicam kerana hidungnya yang begitu besar.

license
cc-by-sa-3.0
copyright
Pengarang dan editor Wikipedia
original
visit source
partner site
wikipedia MS